“MAK Dia Sudah Lama Tak Balik Rumah, Ayah Dia Pula Sudah Jarang Kelihatan Di Rumah Mungkin Sudah Bertukar Pekerjaan,” Kata Jiran Kepada Seorang Daripada Tujuh Remaja Yang Ditahan Selepas Disyaki Membakar Asrama Pusat Tahfiz

 

“MAK dia sudah lama tak balik rumah, ayah dia pula sudah jarang kelihatan di rumah mungkin sudah bertukar pekerjaan,” kata jiran kepada seorang daripada tujuh remaja yang ditahan selepas disyaki membakar asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat sehingga mengorbankan 23 nyawa.

Wanita berusia lingkungan 50-an itu berkata, remaja terbabit tinggal bersama bapa dan seorang abangnya namun ketiga-tiga mereka itu kelihatan baik dan tidak menampakkan ciri-ciri seperti individu yang boleh melakukan perkara jenayah.

Menurutnya, remaja berusia 18 tahun itu tiada masalah komunikasi dengan jiran tetangga, malah kerap bercampur dengan anak-anak jiran lain untuk bermain bola sepak bersama-sama.

“Dia tak nampak seperti mencurigakan dan saya yakin, meskipun dia antara yang paling tua (lebih berusia daripada enam yang ditahan), ada lagi yang lebih tua mempengaruhi mereka untuk merancang perkara (membakar pusat tahfiz) itu.

“Bapanya dulu kerja sebagai pemandu lori, sekarang saya sudah jarang nampak bapanya di kawasan ini mungkin sudah bertukar pekerjaan.

“Mak dia pula sudah lama tidak balik ke rumah sejak beberapa bulan mungkin berlaku perselisihan faham,” katanya ketika ditemui di Kampung Datuk Keramat, hari ini.

Menurutnya, dia terkejut apabila mengetahui anak jirannya itu ditahan polis susulan kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

“Saya terkejut apabila mengetahui dia keluar malam dan mengambil ganja. Jika benar, sudah tentu ada orang dewasa yang mempengaruhi dia,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Sumber