Luluh hati ibu bapa, 2 puteri maut depan mata

SANDAKAN: “Saya hanya mampu melihat mereka maut depan mata tanpa dapat berbuat apa-apa, ” kata Faizal Osman, bapa dua budak yang rentung dalam kejadian lori membawa muatan tong petroleum cecair (LPG) meletup, malam tadi.

Puteri Amanda, 8, dan Puteri Marcella, 5, ditemui maut berpelukan selepas lori dinaiki bersama pasangan suami isteri, Hasim Pilando, 32, dan Ikin, 21, terbabas ke gaung, lalu meletup dan terbakar dalam kejadian di Kampung Pampang, dekat sini, kira-kira jam 7.15 malam.

Menceritakan kejadian itu, Faizal berkata, dua anaknya itu mengikut bapa saudara mereka menaiki lori enam tan untuk ke rumah nenek mereka terletak kira-kira 400 meter dari rumahnya, selepas makan malam.

Katanya, dia tidak menyangka perubahan sikap anak bongsunya, Puteri Marcella yang lebih banyak makan, selain menyatakan mahu tidur bergelap sehari sebelum kejadian sebagai petanda anaknya itu akan meninggalkan mereka.

“Sehari sebelum kejadian, Marcella cakap ‘biarlah tidur dalam gelap’ kerana bekalan elektrik putus.

“Bapa mana tidak sedih apabila kejadian berlaku depan mata, namun kami tak dapat selamatkan mereka… kami reda dengan ketentuan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pampang, hari ini.

Faizal berkata, ketika kejadian, isterinya, Marinah Pilando, 27, melihat lori terbabit terjatuh ke gaung dan memanggilnya, sebelum mereka berlari ke lokasi berkenaan, tetapi keadaan api terlalu marak dengan ketinggian kira-kira 30 meter.

Katanya, nasib menyebelahi seorang lagi anaknya, Mohd Izal, 7, kerana tidak menaiki lori terbabit selepas dilarang.

“Marcella dan Amanda adalah anak yang baik…Amanda juga pelajar yang bijak di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Putih,” katanya.

Dua beradik itu dikebumikan dalam satu liang bersebelahan dengan kubur datuk mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pampang, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata dua lagi mangsa yang dirawat di Hospital Duchess of Kent, di sini berada dalam keadaan kritikal.

“Pemandu lori (Hasim) melecur 20 peratus, manakala isterinya 88 peratus dan masih ditempatkan di zon merah,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH ONLINE

DUA kanak-kanak yang rentung dalam kejadian lori meletup di Sandakan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pampang, dekat Sandakan.
JENAZAH dua beradik yang rentung dalam kejadian lori membawa muatan LPG meletup diusung ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Pampang, dekat Sandakan.