‘Kebakaran Asrama Tahfiz’: Dendam Dipercayai Punca Kejadian, 6 Remaja Positif Dadah Ditahan – Sumber

 

Perselisihan faham antara lima pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dengan tujuh remaja di kawasan Taman Datuk Keramat dipercayai punca kejadian kebakaran yang mengejutkan Malaysia baru-baru ini.

Harian Metro melaporkan, sumber polis berkata, beberapa hari sebelum kejadian, pelajar tahfiz ada mengejek tujuh remaja yang menghisap dadah di kawasan Taman Tasek Datuk Keramat.

Katanya, susulan dari itu, tujuh remaja itu berdendam dengan pelajar tahfiz dan pada hari kejadian, beberapa daripada mereka melompat masuk ke dalam pusat tahfiz itu.

“Kemudiannya, mereka mencuri dua buah tong gas dari kiosk berdekatan lokasi kejadian sebelum membocorkan gas pada tilam dan membakarnya dengan petrol di pintu utama asrama, ” katanya.

Tujuh remaja berkenaan telah ditahan dan enam daripada mereka didapati positif dadah.

Sinar Online pula melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahkan penangkapan remaja terbabit.

“Ya, saya sahkan kesemua penangkapan berkenaan,” katanya ringkas.

Amar Singh berkata maklumat lanjut mengenai penahanan itu akan dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dijadualkan pada 11 pagi esok kemudiannya ditukar malam ini.

Sumber: Harian Metro