7 Suspek Dah Lama Dibuang Sekolah

TUJUH suspek kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pernah bersekolah sebelum dibuang sekolah beberapa tahun lalu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, suspek berkenaan terbabit dalam pelbagai masalah disiplin antaranya tidak menghadirkan diri ke sekolah dalam tempoh lama iaitu sejak 2012 hingga Februari 2016.

Katanya, ada seorang suspek berumur 16 tahun hanya bersekolah di tingkatan satu saja pada 2012 dan kini tidak lagi bersekolah.

“Maknanya mereka ini pernah bersekolah pada satu masa saja dan tidak bersekolah pada waktu ini.

“Mereka bersekolah sekejap, sebab itu ditulis tidak bersekolah (ketika ini),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Sayangi Diri Jauhi Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negara yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rusni Ab Jalil dan Pengetua SMK Seri Saujana Sapura Amat.

Difahamkan tiga suspek pernah bersekolah di SMK Sri Ampang, SMK Padang Tembak (dua), Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Keramat 1 (satu) dan SK Datuk Keramat 2 (satu).

 

Sumber